Senin, 09 April 2012

KHALIFAH ‘UMAR BIN ‘ABDUL ‘AZIZ


Hukama’ mengatakan, “Dunia ini didukung oleh empat tiang; kebijaksanaan golongan cendekiawan, keadilan pemerintah, doa orang yang jujur dan kegagahan orang yang berani.”  Pepatah ini sememangnya sangat tepat kerana hanya golongan cendekiawan yang bijaksana, pemerintah yang adil, orang jujur yang berdoa serta orang berani yang gagah sahaja dapat memakmurkan dan meneguhkan bumi ini.  Selain itu, mereka inilah juga yang membentuk suasana sejahtera – bi’ah salihah/hasanah dalam sesebuah keluarga atau masyarakat.
 Sifat-sifat mulia yang ada pada empat golongan ini dimiliki oleh pemimpin agung seperti Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz.  Dengan keluhuran peribadinya itulah, Khalifah ‘Umar berjaya memadamkan pemberontakan kaum Khawarij yang sangat ekstrim selain peperangan antara suku yang berlaku sejak sebelum beliau memimpin negara.  Khalifah ‘Umar telah berusaha mengadakan sesi dialog secara terbuka dengan kumpulan ini sehingga semua pihak berpuas hati.
 
 Keperibadian Khalifah ‘Umar sendiri dipengaruhi oleh sifat serta akhlak luhur keturunan atau ahli keluarganya dan yang paling hampir ialah bapanya sendiri iaitu gabenor Mesir.  Zaman pemerintahan ‘Abdul ‘Aziz merupakan zaman yang gemilang.  Beliau telah membina alat pengukur air Sungai Nil dan sebuah jambatan di Teluk Amir al-Mu’minin.  Begitu juga beliau berusaha membina semula dan meluaskan Masjid Jami’ `Amru.  Manakala di kawasan kota pula dibangunkan kolam air, ditanam pohon-pohon kayu serta tamar dan didirikan masjid-masjid lalu dipindahkan pejabat-pejabat pemerintahan dan Baitulmal ke situ.
 
 ‘Abdul ‘Aziz merupakan seorang pemimpin contoh dan seorang yang dermawan.  Beliau tidak pernah mengumpulkan kekayaan untuk dirinya sahaja walaupun daerah Mesir itu dapat dijadikan sumber kekayaan peribadinya.  Menurut riwayat, beliau telah membelanjakan seluruh harta kekayaannya dan semasa meninggal dunia, ‘Abdul ‘Aziz hanya meninggalkan tujuh ribu dinar sahaja.  Ini merupakan jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan kedudukan serta kekayaannya.

 Khalifah ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz membesar dan dewasa di kota Madinah.  Beliau meriwayatkan Hadith dan berguru dengan sekumpulan sahabat yang pakar dalam bidang tersebut.  Antara mereka ialah Anas bin Malik (wafat pada tahun 90H.) – seorang guru yang pernah menjadi makmumnya ketika solat, `Abdullah ibn ‘Umar, bapa saudaranya (wafat pada tahun 74H.) dan ‘Abdullah ibn Ja`far ibn Abi Talib (wafat pada tahun 80H.).
 
 ‘Umar ibn ‘Abdil ‘Aziz dilantik menjadi khalifah setelah kemangkatan Khalifah Sulaiman ibn ‘Abdil Malik.  Semua rakyat dan pembesar negara berkumpul di masjid.  Seterusnya, surat wasiat khalifah pun dibuka lalu diumumkan nama ‘Umar ibn ‘Abdil ‘Aziz.  Beliau benar-benar berasa terkejut lalu berkata, “Demi Allah!  Ini sama sekali bukanlah permintaanku, sama ada secara rahsia mahupun terang-terangan.”  ‘Umar segera menaiki mimbar dan berucap kepada hadirin :
 
“Wahai manusia!  Sesungguhnya aku telah dibebani dengan tugas ini tanpa diminta pendapatku terlebih dahulu.  Ini bukan juga atas permintaanku sendiri dan tidak pula berdasarkan musyawarah kaum Muslimin.  Sesungguhnya aku kini membebaskan saudara-saudara sekalian daripada bai’at yang terletak di atas bahu saudara semua terhadap diriku.  Pilihlah siapa yang kamu sukai untuk dirimu sekalian dengan bebas!”
 
 Amalan demokrasi yang cuba dipraktikkan oleh ‘Umar ini sekali gus mengubah tradisi Bani Umayyah sejak zaman Mu`awiyah ibn Abi Sufyan.  Walau bagaimanapun, orang ramai segera bersuara, “Kami telah memilih kamu, wahai Amir al-Mu’minin dan kami telah rela terhadap kamu.  Perintahlah kami dengan baik.”
 
 Akhirnya, apabila tiada lagi pencalonan lain yang dikemukakan oleh orang ramai, ‘Umar pun menyampaikan pidatonya.  Antara lain katanya : 

“Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah kerana taqwa kepada Allah itu adalah penting daripada segala-galanya.  Tiada kemuliaan dan kehormatan yang dapat menggantikan ketaqwaan kepada Allah.  Beramallah kamu untuk akhiratmu kerana sesiapa yang beramal untuk akhiratnya, maka Allah s.w.t. akan menjamin bahawa selesailah urusan kehidupan dunianya.  Amalkanlah tingkah laku yang baik sewaktu kamu bersendirian, nescaya Allah akan menjadikan tingkah lakumu baik ketika kamu berada di kalangan orang awam.”
 
“Banyaklah mengingati mati dan sediakanlah bekalan menghadapinya sebelum ia datang menjemput kamu kerana ia boleh mencegah kamu daripada hidup berfoya-foya dengan kenikmatan.  Sesiapa yang tidak mahu mengenang nenek moyang yang telah pergi terlebih dahulu sejak zamannya hingga Nabi Adam a.s., ia pasti akan mati dalam keadaan hina.”
 
“Ketahuilah! Bahawa tindakan mentaati makhluk dalam perkara maksiat terhadap Khalik adalah dilarang.  Sesiapa yang mentaati Allah, wajiblah ia ditaati dan sesiapa yang mendurhakai Allah, maka ia tidak harus ditaati.  Taatlah kamu kepadaku selagi aku taat kepada Allah.  Jika aku mendurhakai Allah, maka kamu tidak lagi harus mentaatiku.  Aku mengucapkan kata-kataku ini dan aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar untuk diriku sendiri dan untuk saudara-saudara sekalian.”
 
‘Umar ternyata terlalu bersedih dan gelisah dengan beban tanggungjawab yang dipikulnya sesudah dilantik menjadi Khalifah.  Selesai menunaikan solat, beliau berdoa dan menangis.  Kepada isterinya, diadukan bagaimana resahnya beliau mengenangkan beban untuk menguruskan umat Muhammad s.a.w.  Katanya, “Aku terfikir tentang nasib orang fakir dan miskin yang kelaparan, orang sakit yang terlantar, orang yang tidak berpakaian, orang yang teraniaya, orang asing yang menjadi tawanan perang, orang tua, keluarga yang memiliki anak yang ramai tetapi hartanya sedikit dan orang lain seperti mereka yang terdapat diseluruh pelosok negeri.  Aku mengenang bagaimana Tuhanku akan menanyakan dan memintaku bertanggungjawab ke atas mereka semua pada hari kiamat kelak.  Aku takut jika aku tidak dapat memberikan keteranganku.”
 
Diceritakan bahawa selepas dilantik menjadi Khalifah dan ketika mahu berangkat pulang daripada urusan pemakaman Khalifah Sulaiman, ‘Umar diberikan berbagai-bagai jenis kenderaan khalifah.  ‘Umar bertanya, “Apakah ini?”  Jawab mereka, “Inilah kenderaan buat khalifah.”  ‘Umar berkata, “Haiwanku lebih sesuai bagiku.”  Kemudian beliau menjual semua kenderaan tersebut dan wangnya diserahkan kepada Baitul Mal.  Begitu juga dengan perhiasan, permaidani dan pengalas kaki yang biasanya disediakan untuk khalifah yang baharu.  Semuanya dijual oleh ‘Umar dan wangnya diserahkan kepada Baitul Mal.
 
 Di samping itu, turut diceritakan bagaimana ‘Umar menghadapi masalah kewangan untuk menunaikan haji disebabkan harta kekayaannya telah diserahkan kepada negara untuk kepentingan umum.  ‘Umar memberitahu pembantunya, Muzahim, “Aku ingin menunaikan ibadah haji.  Adakah kamu mempunyai sesuatu?”  Muzahim menjawab, “Ada lebih kurang sepuluh dinar cuma.”  “Apakah yang dapat kulakukan dengannya?” ujar ‘Umar.  Muzahim terdiam sejenak dan akhirnya berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin, bersiaplah!  Ssebanyak tujuh belas ribu dinar iaitu sebahagian daripada harta Bani Marwan telah diserahkan kepada kita.”
 
 ‘Umar menjawab, “Masukkanlah harta tersebut ke dalam Baitul Mal.  Sekiranya ia datang daripada barang yang halal, maka kita telah mengambilnya sekadar keperluan kita dan jika ia datang daripada harta yang haram, maka cukuplah bagi kita apa yang menimpa diri kita.”
 
 ‘Umar juga melatih ahli keluarganya supaya turut zuhud sepertinya.  Anak beliau sendiri memakai pakaian yang terlalu sederhana; meskipun bersih tetapi koyak, pada hari raya.  Kebijaksanaan ‘Umar juga jelas terbukti dalam berinteraksi dan menyelesaikan pertikaian dengan penganut agama lain.  Sebagai contoh, ‘Umar telah mengembalikan gereja yang diambil oleh khalifah sebelumnya dan diubah menjadi masjid.  Kaum Nasrani yang memaklumi sifat adilnya telah memohon kepada ‘Umar supaya gereja tersebut dikembalikan kepada mereka.
 
 Keadilan dan ketegasan ‘Umar dalam pemerintahannya benar-benar menjadikan rakyatnya hidup aman dan kaya.  Yahya ibn Sa’id pernah meriwayatkan, ‘Umar ibn `Abdil Aziz telah mengutusku ke Afrika Utara untuk membahagi-bahagikan zakat penduduk di sana.  Aku pun melaksanakan perintah tersebut.  Aku mencari golongan fakir miskin untuk kuberikan zakat itu kepada mereka.  Akan tetapi ,kami tidak menemui seorang pun dan tiada pula orang yang mahu menerimanya.  ‘Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya.  Akhirnya, kubeli beberapa orang hamba dengan harta zakat itu lalu kumerdekakan.”
 
 Khalifah yang demikian salih, adil dan menepati ciri pemimpin sejati yang dikasihi Allah, akhirnya wafat kerana diracuni makanannya.  Anehnya ‘Umar yang sememangnya mengetahui ketika, di mana dan siapa yang meracuninya itu  tidak pula menghukum orang tersebut.  Inilah kelebihan firasat orang yang beriman. Menyentuh tentang firasat ini, Rasulullah pernah bersabda, “Takutilah olehmu firasat Mukminin kerana mereka memandang dengan nur Allah.”  Beliau hanya memanggil orang tersebut dan bertanya berapakah harga ia diupah untuk meracuni beliau.  Wang seribu dinar itu dimintanya bukan untuk mengubati bisa racun tersebut tetapi diberikan kepada Baitul Mal untuk kepentingan umat Islam.
 
 Keimanan dan sifat zuhud ‘Umar sememangnya cukup menakjubkan.  Daripada kehidupan yang sedemikian mewah sebelum menjadi khalifah, beliau sanggup meninggalkan semuanya, semata-mata kerana takutkan azab Allah sekiranya beliau cuai menjalankan amanah.  Ketika meninggal dunia, harta beliau hanya tinggal tujuh belas dinar sahaja.  Ia dibahagi-bahagikan untuk penyelenggaraan pemakamannya iaitu lima dinar untuk kain kafan, dua dinar untuk tanah perkuburannya dan baki sepuluh dinar itulah yang dibahagi-bahagikan untuk sebelas orang anaknya.
 
 Sebagai seorang hamba yang dikasihi Allah, ketinggian darjatnya ditunjukkan oleh Allah untuk dijadikan panduan oleh manusia lainnya.  Demikianlah kehebatan seorang manusia agung, seorang hamba Allah yang memperoleh nikmat syurga, hasil keimanan yang kudus hanya kepada Allah s.w.t.  Mudah-mudahan kita dapat berusaha mencontohi akhlak mulianya.
 

0 komentar: